PEMAIN sayap kebangsaan, Faisal Halim mahu meneruskan rentak jaringannya namun fokus utamanya adalah untuk membantu pasukan mencapai kemenangan ketika bertemu Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan B Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Faisal atau mesra disapa Mickey juga berkata ini adalah kali pertama dia menentang skuad senior Vietnam dan akan memberikan aksi terbaik meskipun sedar kekuatan yang ada pada pasukan itu ketika ini.
Dia juga mahu rakan-rakan sepasukannya membuktikan mereka sememangnya layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan sama-sama berjuang untuk memberikan kebanggaan buat keluarga amnya dan buat Malaysia khususnya.
“Kita akan hadapi satu perlawanan sukar. Ini adalah kali pertama saya menghadapi Vietnam dan sudah tentu mahu terus menjaringkan gol untuk bantu pasukan tetapi jika saya tidak berjaya, saya mahu membantu pasukan untuk meraih kemenangan.
“Semua tahu pasukan Vietnam dan para pemain mereka sangat bagus tetapi kami sebagai pemain akan mengambil cabaran ini dengan memberikan aksi terbaik dan mahukan kemenangan dalam aksi di Stadium My Dinh nanti.
“Ramai yang tidak yakin dengan pasukan ini pada awalnya tetapi saya percaya dengan rakan-rakan kerana mereka mempunyai bakat yang baik tetapi tidak berpeluang untuk menyarung jersi kebangsaan dan kini apabila berjaya mereka perlu merebut peluang kerana peluang tidak datang dengan mudah.
“Saya hanya perlu yakinkan mereka kerana kesemua pemain gembira bermain untuk coach Kim Pan-gon walaupun sukar tetapi atas sebab itulah pasukan Malaysia semakin bagus dan pemain perlu berikan lebih daripada 100 peratus pada perlawanan esok untuk berikan kebanggaan kepada keluarga dan juga Malaysia,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Hanoi.
Mickey kini telah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan ini selepas dua perlawanan dan dia pastinya akan diberikan kawalan ketat daripada barisan pertahanan Vietnam tetapi dia yakin dengan pelan permainan yang telah dilakukan barisan kejurulatihan.
Malaysia akan menentang Vietnam di laman lawan dan terpaksa mengatasi cabaran kepenatan dan juga cuaca yang sejuk namun ianya bukan alasan buat Harimau Malaya untuk terus mengaum dan pulang dengan tiga mata penuh sekaligus layak ke separuh akhir.