SINGAPURA berjaya mengikat Vietnam 0-0 dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 sekaligus menjadikan laluan Malaysia lebih berliku untuk layak ke separuh akhir.

Pendahulu semasa, Vietnam yang masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia pada Selasa gagal menembusi kekentalan barisan pertahanan Singapura dan terpaksa berpuas hati pulang dengan hanya satu mata.

Singapura pula bagaikan mendapat tonik tambahan menjelang pertemuan dengan Malaysia pada 3 Januari 2023 apabila kini hanya perlukan keputusan seri untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

 

Kedua-dua pasukan bermain sangat berhati-hati dengan Vietnam dilihat agak bergelut ketika beraksi di padang tiruan di Stadium Jalan Besar manakala Singapura sesekali cuba melakukan serangan balas.

Dengan keputusan ini, Vietnam dan Singapura di tangga pertama dan kedua dengan tujuh mata dan perlawanan terakhir bakal menentukan siapakah layak ke peringkat separuh akhir.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, jaringan minit akhir memastikan Myanmar berjaya mengikat Laos dengan keputusan 2-2 dan Laos kekal di tangga terbawah tanpa sebarang mata.