BRUNEI Darussalam membuat kemunculan semula dalam kejuaraan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 sejak 1996 selepas berjaya menewaskan Timor Leste 6-3 pada aksi kelayakan pada November.

Skuad Tebuan bakal beraksi dalam Kumpulan A dengan menjadikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai gelanggang sendiri selepas Stadium Negara Hassanal Bolkiah sedang menjalani proses penambahbaikan.

Pasukan kendalian Mario Rivera Campesino telah berlepas ke Kuala Lumpur pada Isnin sebagai persiapan awal dan menyesuaikan diri sebelum memulakan kejohanan menentang Thailand pada 20 Disember 2022.

 

Brunei membawa 23 pemain ke Kuala Lumpur dengan majoriti mereka daripada pasukan DPMM FC dan Kasuka FC yang menampilkan pemain berpengalaman dan beberapa pemain muda untuk membawa cabaran negara Kesultanan itu.

Dua perlawanan getir menanti Brunei di Kuala Lumpur dengan Thailand dan Indonesia bakal menguji Brunei dalam aksi kompetitif antarabangsa selepas sekian lama gagal beraksi di kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara ini.

Dua lagi aksi Kumpulan A bakal menyaksikan Brunei terbang ke Manila bertemu Filipina dan ke Phnom Penh bertemu Kemboja untuk melengkapkan aksi peringkat kumpulan.