AKSI Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil seringkali menjadi tumpuan para peminat bola sepak tempatan apabila perlawanan melibatkan Malaysia di stadium ini mencatatkan angka kehadiran penyokong tertinggi sepanjang peringkat kumpulan Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Dengan format dua perlawanan di tempat sendiri dan dua perlawanan di tempat lawan, aksi di laman sendiri menjadi tumpuan penyokong berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh para pemain skuad kebangsaan.

Perlawanan Malaysia menentang Singapura mencatatkan angka kehadiran penyokong tertinggi dengan 65,147 penonton hadir ke stadium sekaligus memadam rekod yang dipegang penyokong Indonesia sebanyak 49,985 penonton ketika bertemu Thailand di Stadium Gelora Bung Karno.

Jumlah penonton yang hadir ketika Malaysia bertemu Singapura

Penyokong Malaysia juga mencatatkan angka kehadiran yang tinggi ketika bertemu Laos dengan 29,961 penyokong turut mengatasi angka kehadiran penyokong di Gelora Bung Karno yang mencatatkan angka 25,332 orang ketika menyaksikan Indonesia menentang Kemboja.

Namun begitu, penyokong Indonesia boleh berbangga apabila menjadi penyokong terbanyak yang hadir ke venue neutral apabila seramai 5,439 penyokong hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk menyaksikan Indonesia membelasah Brunei 7-0.

Sejumlah 266,226 penyokong hadir menyaksikan kesemua 20 perlawanan peringkat kumpulan di 10 venue seluruh Asean dalam kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara yang berlangsung secara dwi tahunan ini.

Penyokong Indonesia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras

Empat perlawanan separuh akhir di Jakarta, Hanoi, Kuala Lumpur dan Bangkok pastinya akan menarik lebih ramai penyokong ke stadium kerana sudah pasti akan menyajikan aksi yang lebih berkualiti dan mendebarkan.