KETUA Jurulatih Laos, Michael Weiss mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia setelah berjaya menewaskan skuad bimbingannya 5-0 dalam aksi yang berlangsung hangat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Menyedari skuad kebangsaan Laos dibarisi rata-rata pemain muda, Michael tetap mberi kredit kepada barisan pemain kerana berusaha sebaik mungkin mengekang asakan Harimau Malaya.

“Tahniah kepada pasukan Malaysia. Saya rasa kita ada kawalan bola yang baik. Kita dibolosi gol yang tidak sepatutnya terhasil.

“Ramai pemain muda yang beraksi di hadapan 30 hingga 40 ribu. Saya perlu beri mereka kredit kerana mencuba sebaiknya. Sebelas gol bolos dalam 2 perlawanan bukanlah parti atau sesuatu yang boleh dibanggakan,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia menyeru barisan pemain agar fokus dalam baki dua perlawanan bertemu Singapura dan Myanmar.

“Kita harus tunjukkan kematangan dalam perlawanan seterusnya dan menunjukkan semangat terpuji serta move on ke perlawanan bertemu Singapura,” jelasnya.

Mengulas ketiadaan Billy , dia memaklumkan bahawa pemain tersebut sedang bergelut dengan masalah kecederaan dan mungkin direhatkan sepanjang kejohanan Piala AFF berlangsung.

“Billy cedera , mungkin tidak beraksi sepanjang kejohanan,” katanya.