JUARA bertahan, Thailand berjaya layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 selepas menewaskan Kemboja 3-1 sekaligus menafikan Indonesia untuk bergelar juara Kumpulan A.
Dua jaringan pada minit akhir setiap babak oleh Teerasil Dangda dan gol debut dari Sumanya Purisai berjaya memberikan anak-anak buah Mano Polking kelebihan jaringan mengatasi Sang Garuda dalam aksi di Stadium Thammasat, Bangkok.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Memorial Rizal, Manila yang berlangsung serentak, Indonesia pada suatu ketika dilihat sudah hampir pasti bergelar juara kumpulan selepas mendahului Filipina 2-0 pada babak pertama.
AFF MITSUBISHI ELECTRIC CUP | Group A
FT: Filipina 🇵🇭 1-2 Indonesia 🇮🇩
⚽ 🇵🇭 Sebastian Rasmussen 82'
⚽ 🇮🇩 Dendy Sulistyawan 21', Marselino Ferdinan 43'#KitaGaruda#AFFMitsubishiElectricCup2022#BeTheGameChanger pic.twitter.com/aBDCAiyxFa— Flash Sukan (@FlashSukan) January 2, 2023
Gol daripada Dendy Sulistyawan dan Marselino Ferdinan sudah cukup untuk memberikan kemenangan keempat buat skuad bimbingan Shin Tae-yong namun jaringan Sebastian Rasmussen lapan minit sebelum tamat meranapkan impian Indonesia untuk memintas Thailand.
Kedua-dua pasukan mengakhiri peringkat kumpulan dengan 10 mata tanpa sebarang kekalahan dengan tiga kemenangan dan satu keputusan seri yang hanya dibezakan menerusi perbezaan jaringan dan bolos.
Sebagai juara kumpulan, Thailand bakal menanti pasukan tempat kedua Kumpulan B sama ada Vietnam, Singapura atau Malaysia dalam aksi separuh akhir pertama di laman lawan yang dijadualkan pada 7 Januari 2023.
Indonesia pula sebagai naib juara bakal menjadi tuan rumah kepada juara Kumpulan A juga sama ada Vietnam, Singapura atau Malaysia di Gelora Bung Karno dalam aksi yang dijadualkan pada 6 Januari 2023.
Vietnam, Singapura dan Malaysia bakal membuat perhitungan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada Selasa dengan Vietnam bakal berhadapan Myanmar di Hanoi manakala Malaysia bakal melayan kunjungan Singapura di Kuala Lumpur.