PENGENDALI skuad B-16 tahun kebangsaan, Osmera Omaro gembira dengan kemenangan yang berjaya dicatatkan oleh anak-anak buahnya apabila menundukkan Kemboja 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejuaraan AFF B16 Tahun di Jogjakarta pada Selasa.

Gol-gol jaringan Muhammad Arami Wafiy Zakimi dan Muhamad Farish Danish Mohd Asrul pada setiap babak serta satu gol sendiri oleh pemain Kemboja memberikan tiga mata berharga untuk permulaan yang baik buat skuad muda negara.

Namun begitu, Osmera nyata belum berpuas hati secara total dan menyatakan ada beberapa perkara kecil yang perlu mereka perbaiki menjelang pertemuan kedua dengan Myanmar Jumaat ini.

Osmera Omaro

Dia juga menyatakan sudah mempunyai maklumat tentang pasukan Myanmar dan akan menganalisa permainan mereka sebelum mempersiapkan pasukan.

“Tahniah kepada pemain sebab bersungguh-sungguh mendapatkan kemenangan. Secara keseluruhan masih banyak benda perlu dilakukan. Ianya sentiasa bagus untuk bermula dengan baik.

 

“Namun secara total saya masih kurang berpuas hati dan banyak perkara perlu diperbaiki sebelum kita menentang Myanmar Jumaat ini.

“Saya juga sudah mempunyai maklumat tentang Myanmar dan rasakan tidak banyak perbezaan antara Kemboja dan Myanmar,” katanya selepas perlawanan.

Kemenangan ini memberikan sokongan kepada skuad muda negara ini yang kebanyakkannya adalah dari Akademi Mokhtar Dahari dan Akademi Johor Darul Ta’zim untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Malaysia dijadualkan bertemu Myanmar yang awalnya sudah menewaskan Australia Jumaat ini dan kemenangan akan menjamin laluan yang lebih cerah layak ke peringkat seterusnya.