PENGURUS Pasukan Bawah 16 Tahun Kebangsaan (B-16) Christopher Raj gembira dan berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh skuad remaja ini menjelang Kejuaraan AFF B-16 Tahun di Jogjakarta bermula 31 Julai ini.
Christopher juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang membenarkan para pemain berlatih di MSN sekaligus dapat merasai bagaimana latihan atlet berprestasi tinggi dijalankan.
Selain itu dia juga mahukan doa daripada rakyat Malaysia kerana dia yakin pasukan ini dapat melakukan yang terbaik untuk memberikan keputusan yang positif dalam kejohanan ini.
“Saya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pasukan ini dan saya ingin berterima kasih kepada Ketua Pengarah MSN kerana membenarkan skuad ini menjalani latihan di MSN.
“Para pemain dapat berlatih bersama-sama atlet yang akan ke Sukan Komanwel dan meningkatkan semangat mereka apabila berjumpa dan berlatih dengan mereka yang bergelar juara.
“Doa rakyat Malaysia juga kami perlukan kerana ini adalah skuad masa depan yang sedang dipersiapkan untuk menghadapi Sukan Sea 2027 di Malaysia nanti dan saya yakin kami dapat memberikan keputusan yang positif dalam kejohanan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Skuad B-16 Tahun Kebangsaan berlepas ke Jakarta pada Jumaat sebelum ke Jogjakarta hari ini untuk memulakan kempen Piala AFF B-16 Tahun pada 2 Ogos nanti menentang Kemboja sebelum bertemu Myanmar pada 5 Ogos dan Australia, 8 Ogos.