JURULATIH skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan, Hassan Sazali Waras gembira kerana dapat membawa 25 pemain ke Kejohanan Piala AFF B-19 Tahun yang bakal membuka tirainya pada 2 hingga Julai ini di Indonesia.
Hassan mengakui situasi tersebut memandangkan pemain-pemain bakal berdepan dengan pengalaman baharu corak permainan berintensiti tinggi serta dengan kehadiran beberapa pemain utiliti yang boleh bermain di beberapa posisi kerana ianya penting dalam perancangannya menghadapi kejohanan yang berlangsung di Indonesia itu.
Namun, Hassan tidak mahu meletakkan tekanan kepada anak-anak buahnya kerana dia mahu setiap pemain fokus kepada satu demi satu permainan dan itu adalah pilihan yang terbaik.
“Kita bermain dalam karnival oleh itu saya memerlukan 25 pemain untuk penggiliran pemain dan tidak hanya tertumpu pada kesebelasan yang sama. Saya akan gunakan maksimum pemain pada pusingan awal.
“Ada beberapa pemain dalam skuad ini mempunyai kemampuan untuk bermain di pelbagai posisi dan pemain utiliti seperti mereka ini sangat diperlukan dalam perancangan pasukan.
“Saya hanya mahu fokus pada perlawanan peringkat awal terlebih dahulu dan tidak mahu meletakkan tekanan kepada pemain. Lebih baik kita fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” jelasnya sebelum berlepas ke Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Selain itu Hassan juga sentiasa berpesan kepada pada pemain supaya tidak mengambil mudah kesemua perlawanan meskipun nampak skuad negara berada dalam kumpulan yang lebih mudah kerana tidak mahu ianya menjadi tekanan tambahan sekiranya tidak berhati-hati.
Skuad muda negara berlepas ke Jakarta pagi tadi dan akan bertemu Kemboja pada 5 Julai, Singapura pada 7 Julai, Timor Leste pada 9 Julai dan Laos pada 11 Julai dengan dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.