TIGA gol yang diledak penyerang muda kebangsaan, Alif Ikmalrizal Anuar bukan sahaja menjadikannya salah seorang penjaring terbanyak kejohanan tetapi turut disenaraikan dalam ‘Team of the Tournament’ Kejuaraan Piala AFF B-23 yang berakhir pada Sabtu

Meskipun Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas dalam penentuan penalti ketika perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, ketajaman Alif Ikmalrizal di depan gawang berjaya menarik perhatian pemerhati di kejohanan itu.

Pemain berusia 21 tahun itu mula mencuri tumpuan ketika beraksi bersama Penang FC dan dia sudah pun berjaya menjaringkan tiga gol dalam Liga Super seterusnya dipanggil E. Elavarasan untuk mewakili Malaysia ke Rayong, Thailand.

Tidak cukup hanya digelar penjaring terbanyak, gol yang dijaringkan ketika Malaysia menewaskan Timor Leste juga dipilih sebagai salah satu dari lima gol terbaik kejohanan.

Alif Ikmalrizal adalah aset masa depan Penang FC dan Malaysia dan dengan pendedahan yang diterima dalam Liga Super, tidak mustahil dia akan menjadi prospek penyerang tempatan baharu yang digeruni kerana dilihat mempunyai sentuhan penyudah yang cukup baik.

Dia pasti akan menjadi taruhan skuad Harimau Kumbang dalam baki perlawanan Liga Super dan juga dalam Challenge Cup dimana Penang FC berpeluang untuk merangkul kejuaraan. Tahniah Alif.