PENYERANG skuad B-23 tahun kebangsaan, Fergus Tierney menjadi sebutan ramai dalam satu malam apabila dua jaringannya pada babak kedua menyaksikan Malaysia bangkit menewaskan Indonesia 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Kejuaraan Piala AFF B-23 di Stadium Rayong, Thailand.

Dua jaringannya itu memberikan tiga mata buat Malaysia sekaligus mencerahkan peluang ke separuh akhir dengan hanya memerlukan sebarang keputusan positif menentang Timor Leste pada aksi kedua, 22 Ogos nanti.

Dia nyata gembira kerana berjaya merealisasikan perancangan ketua jurulatih, E Elavarasan yang mahukan dia memberi impak kepada pasukan apabila dia dimasukkan di babak kedua.

“Ianya perlawanan yang sukar. Indonesia adalah pasukan yang baik setelah mereka memenangi pingat emas di Sukan Sea. Kami tahu sejak dari awal kami lihat undian ianya akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi saya sentiasa yakin dengan rakan sepasukan untuk melaksanakan tugas.

“Jurulatih ada beritahu saya supaya bersedia untuk masuk pada babak kedua untuk beri impak pada perlawanan dan nyata perancangan jurulatih berjaya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Fergus juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong dan dia serta rakan-rakan sepasukan mahu memenangi setiap perlawanan dan muncul juara kejohanan kali ini.

“Kami mahu menang setiap perlawanan dan mahu muncul juara dan sentiasa memandang kehadapan. Terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa menyokong kami dan tidak mustahil kami boleh layak ke final.”