PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan, E. Elavarasan mengucapkan tahniah kepada para pemainnya kerana berjaya memenangi perlawanan kedua Kumpulan B sekaligus layak ke separuh akhir Kejuaraan Piala AFF B-23 buat pertama kali dalam tempoh empat tahun.
Elavarasan juga gembira kerana matlamat mereka untuk menang dalam perlawanan ini dapat dicapai para pemain yang beraksi baik ketika menumpaskan Timor Leste 3-1 untuk menjuarai kumpulan.
“Pertama sekali tahniah kepada pasukan kerana layak ke semi final pertama kali dalam empat tahun dan kita datang dengan matlamat untuk menang dan pemain dapat mencapainya,” katanya selepas perlawanan.
Pembantu jurulatih skuad senior itu juga menjelaskan dia melakukan pertukaran pada kesebelasan utama kali ini kerana mahu mencari kelebihan hingga tamat perlawanan dan kini akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan separuh akhir.
“Banyak pertukaran kita buat sebab kita rasa kita perlukan pertukaran awal untuk kita dapat caturkan supaya dapat kelebihan hingga minit ke-90. Selepas ini lebih fokus kepada pemulihan dan sediakan pasukan untuk menentang Vietnam pada Khamis,” jelasnya.
Dua gol daripada Arif Ikmalrizal dan satu daripada Izwan Yuslan sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Harimau Malaya untuk mengungguli kumpulan dengan enam mata hasil dua kemenangan.