SKUAD Harimau Malaya B-23 tahun tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Timor Leste 3-1 sekali gus layak ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Piala AFF B-23 sebagai juara Kumpulan B.

Dua gol dari penyerang muda Penang FC, Alif Ikmalrizal pada setiap babak dan satu dari Izwan Yuslan sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat anak-anak buah E. Elavarasan dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

Elavarasan yang melakukan banyak pertukaran dalam kesebelasan utama namun ianya dilihat tidak mengganggu persembahan pasukan dengan Malaysia mendahului seawal minit kelima hasil rembatan jarak jauh Arif Ikmalrizal.

Gol itu nyata menambah semangat para pemain dan berselang lapan minit Izwan Yuslan bijak memperdaya penjaga gol Timor Leste untuk meletakkan Malaysia selesa 2-0 di hadapan seawal 15 minit pertama perlawanan.

Meskipun ketinggalan dua gol, Timor Leste tidak patah semangat sebaliknya mengatur gerakan yang lebih tersusun dan hasilnya mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Olagar Xavier pada minit ke-41 yang bijak melepasi perangkap ofsaid pertahanan Malaysia.

Bersambung babak kedua, Malaysia melancarkan serangan demi serangan untuk menambah kelebihan jaringan dan akhirnya Arif Ikmalrizal sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring selepas dia menyambung bola yang ditampan penjaga gol lawan untuk gol ketiga pada minit ke-64.

Barisan pertahanan Malaysia juga beraksi cemerlang apabila beberapa kali berjaya mematahkan serangan Timor Leste ketika diasak pada penghujung permainan untuk memastikan kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Malaysia kini bakal berhadapan pemenang Kumpulan C, Vietnam pada separuh akhir yang dijadualkan pada Khamis manakala satu lagi separuh akhir menemukan tuan rumah, Thailand dengan Indonesia.