KAPTEN skuad B-23 tahun kebangsaan, Ubaidillah Shamsul Fazili mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya bangkit dari kekalahan di separuh akhir untuk meraih kemenangan sekali gus mendapat tempat ketiga dalam Kejuaraan Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand.

Skuad negara tewas 1-4 kepada Vietnam dan gagal ke final tetapi masih mampu menebus kehampaan apabila bertemu tuan rumah, Thailand dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada Sabtu.

Tidak banyak yang diubah dalam persiapan pasukan tetapi setiap pemain mahu membuktikan kemampuan masing-masing bagi merebut tempat untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia AFC B-23 yang bakal berlangsung pada September.

“Sudah tentu kami merasa kecewa dengan kekalahan semalam tetapi saya percaya rakan-rakan sepasukan bersemangat untuk menghadapi perlawanan seterusnya walaupun untuk merebut tempat ketiga namun ianya adalah satu pencapaian juga buat kami.

“Kami melakukan persediaan seperti biasa dan mengikut pelan barisan kejurulatihan dan apa yang ditekankan adalah fokus dalam perlawanan kerana Thailand juga adalah pasukan yang kuat dalam kejuaraan ini dan kami harap dapat lakukan yang terbaik.

“Sudah tentu kami akan lakukan yang terbaik dan tunjukkan kepada jurulatih kelebihan masing-masing kerana semua pemain mahu berbakti kepada negara dan mahu memberikan pingat gangsa buat Malaysia dengan memenangi perlawanan ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala AFF B-23 : Malaysia tak terdaya sekat Vietnam untuk ke final

Malaysia layak ke peringkat separuh akhir selepas empat tahun apabila muncul pemenang Kumpulan B di hadapan Indonesia dan Timor Leste namun tidak dapat menyaingi barisan pemain Vietnam dan gagal menepati sasaran awal untuk layak ke final.