UNDIAN peringkat kumpulan Kejohanan Piala AFF B-23 telah berlangsung pada Isnin dan skuad kebangsaan telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Indonesia dan Timor Leste.
Seperti yang dilihat, majoriti pemain-pemain kebangsaan B-23 tahun berada dalam pasukan Selangor FC dan ini menimbulkan tanda tanya daripada penyokong sama ada Gergasi Merah akan melepaskan pemain kerana kejohanan itu berada di luar kalendar antarabangsa Fifa.
Ini selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang menyatakan kelab akan bersikap selektif dalam melepaskan pemain seandainya saingan yang diterapkan tiada dalam kalendar antarabangsa Fifa.
Perkara yang sama turut disuarakan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe yang akan berbincang dengan pihak pengurusan sama ada mahu melepaskan pemain ke skuad kebangsaan kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk kelab.
“Kalau kita lihat jadual kejohanan bertindih dengan jadual Liga Super. Kita kena lihat sama ada keperluan untuk lepaskan semua pemain ke skuad B-23 kerana kita juga ada tugasan dan tanggungjawab untuk kelab.
“Sebagai jurulatih, saya mahu pemain menimba pengalaman bermain di peringkat antarabangsa dan membantu skuad kebangsaan tetapi pada masa yang sama menjaga kebajikan pasukan.
“Kita belum berbincang dengan pihak pengurusan tetapi yang penting kedua-dua pihak mendapat situasi menang-menang,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam.
Cheng Hoe yang sedang mempersiapkan pasukan untuk perlawanan Liga Super menentang PDRM FC pada Sabtu setakat ini berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan dan percaya mereka mampu meningkat lagi prestasi menjelang pusingan kedua liga.
“Secara keseluruhan pasukan berada di tangga kedua dan ini adalah pencapaian terbaik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Saya juga yakin pemain dapat meningkatkan prestasi mereka secara individu dan pasukan kerana perjalanan musim ini masih panjang.”