KETIGA-TIGA kapten skuad kebangsaan B-23 tahun melaungkan azam untuk memberikan aksi terbaik apabila berhadapan Timor Leste bagi memastikan Malaysia layak ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand.
Selepas mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama menentang Indonesia, Harimau Malaya hanya memerlukan keputusan seri untuk layak sebagai juara Kumpulan B tetapi kemenangan akan memberikan momentum terbaik ke separuh akhir.
Tiga kapten, Ubaidillah Shamsul Fazili, Syahir Bashah dan Aiman Afif Afizul mahu mereka dan rakan-rakan sepasukan menjadikan kemenangan ke atas Indonesia sebagai pemangkin semangat untuk perlawanan pada Selasa.
“Pemain dalam keadaan bersemangat dan saya harap semua pemain dapat berikan persembahan terbaik menentang Timor Leste kerana persefahaman semakin meningkat sejak tiba di Rayong,” kata Ubaidillah.
“Keadaan pasukan kini semakin baik dan lebih bersedia untuk menentang Timor Leste. Kami tidak akan mengambil mudah pasukan lawan dan kami akan beraksi dengan lebih baik esok,” jelas Syahir yang kurang berpuas hati dengan aksinya pada perlawanan pertama.
“Kemenangan ke atas Indonesia adalah langkah kanan buat kita dan semangat untuk teruskan kemenangan keatas Timor Leste. Kami bersama dalam masa yang singkat dan keserasian antara kami semakin baik dan kami yakin dapat mengutip tiga mata,” kata Aiman Afif.
Skuad kendalian E. Elavarasan itu kini ditangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata, berkongsi mata dengan Indonesia yang sudah melengkapkan aksi peringkat kumpulan dan akan memastikan tempat teratas dan layak ke separuh akhir dengan sebarang keputusan positif ke atas Timor Leste.