PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan menyatakan sebab utama kemenangan Malaysia keatas Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Kejuaraan Piala AFF B-23 adalah disebabkan usaha bersama para pemain.

Malaysia berjaya membuka tirai kejuaraan dengan langkah kanan apabila dua gol daripada Fergus Tierney memberikan kemenangan 2-1 untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir.

Elavarasan juga sedar Indonesia adalah pasukan yang lebih baik sebagai juara Sukan Sea namun nasib lebih menyebelahi Malaysia terutama pada babak kedua setelah ketinggalan pada babak pertama.

“Kami menghormati Indonesia sebagai juara Sukan Sea dan kami juga mempunyai masalah yang sama dengan mereka kerana tidak dapat membawa pemain terbaik untuk kejohanan ini.

“Perlawanan ini menunjukkan Indonesia mempunyai pengalaman sebagai juara Sukan Sea dan mereka mengawal permainan tetapi kami bernasib baik kerana mempunyai peluang untuk mendapatkan gol di separuh masa kedua.

“Kemenangan ini adalah usaha bersama semua pemain selepas mereka ketinggalan 1-0 dan mereka meletakkan lebih usaha serta bersatu di dalam padang dan kadang kala elemen nasib juga terjadi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pembantu jurulatih skuad senior kebangsaan itu juga memuji penjaring gol, Fergus Tierney yang dianggap mempunyai pendedahan yang banyak di peringkat kelab membantu dirinya untuk menjaringkan gol buat Malaysia.

“Fergus bermain dengan salah satu kelab terbaik di Malaysia iaitu JDT. Dia telah banyak didedahkan di peringkat kelab dan kami bernasib baik kerana dia berjaya menjaringkan gol buat kami dalam perlawanan ini,” tambah Elavarasan.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan B dan hanya memerlukan keputusan positif apabila menentang Timor Leste pada 22 Ogos untuk layak ke peringkat separuh akhir.