JURULATIH Terbaik Malaysia musim 2006/2007, Muhammad Azraai Khor Abdullah memuji kombinasi barisan pemain yang dipilih Kim Pan-gon yang menyenaraikan kombinasi pemain muda dan senior menjelang saingan Piala AFF Mitsubishi Electric tahun ini.

“Satu kombinasi yang baik antara pemain berpengalaman dan pemain muda. Itu pengalaman saya dalam sesebuah pasukan untuk berjaya. Kalau terlampau banyak pemain muda pun tidak boleh juga, gandingan itu penting,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Susulan kenyataan yang dikeluarkan Pan-gon tempoh hari, dia merasakan simpati terhadap nasib jurulatih tersebut apabila panggilannya tidak disambut baik sebahagian pemain kebangsaan.

Menurutnya, panggilan tersebut bukan untuk suka-suka sebaliknya bakal meningkat kadar kebolehpasaran seseorang pemain apabila ingin beraksi bersama kelab-kelab lain.

“Bagi pandangan saya, sebagai pemain , kita bermain bola ini untuk apa? Mestilah berkobar-kobar , bukan wakil saja-saja. Sekurang-kurangnya, market value kita akan meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN: “SESUATU PERLU DILAKUKAN”-AZRAAI KHOR

“Kalau pemain biasa tandatangani sesuatu kelab mungkin gaji sekian-sekian. Tetapi kalau awak pernah mewakili pemain kebangsaan nilai awak pasti akan meningkat.

“Sebelum ini, main all out untuk apa? Patutnya bangga dapat menyarung jersi kebangsaan,” katanya.

Jelas Azraai, kem kebangsaan berdepan situasi yang agak merugikan memandangkan kekurangan pemain terbaik dalam pasukan Harimau Malaya.

“Bagi saya, wujudnya sesuatu pasukan itu, mereka harus ada pemain yang baik untuk negara dalam skuad tersebut. Kalau sudah juara untuk semua piala itu, pemain tersebut tiada di situ sayanglah. Pemain terbaik tiada di skuad tersebut,” kongsinya.

Menjelang dua aksi persahabatan sebelum aksi Piala AFF Mitsubishi Electric, dia menyifatkan perlawanan tersebut merupakan medan menguji persefahaman pemain serta menilai kelemahan dan kelebihan yang terdapat dalam skuad sedia ada.

Azraai tidak mahu meletakkan sebarang ramalan tentang kemampuan Harimau Malaya di saingan Piala AFF Mitsubishi Electric kali ini memandangkan ianya masih terlalu awal baginya untuk menilai kemampuan sebenar Harimau Malaya.

“Terlalu awal untuk hendak tilik nasib kemana skuad ini boleh pergi. Selepas dua perlawanan persahabatan, mungkin kita boleh lihat hala tuju pasukan.

“Perlawanan persahabatan ini lebih kepada untuk jurulatih menguji persefahaman pemainnya dalam pasukan, tidak lebih dari itu.

“Paling penting sekali , dia dapat kenalpasti strategi perlawanan tersebut untuk memperbaiki kelemahan dan sebagainya,” jelasnya.