PASUKAN bola sepak wanita kebangsaan membuka kempen Kejohanan Piala AFF Wanita 2022 dengan keputusan seri selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan 0-0 menentang pasukan jiran, Singapura di Stadium Memorial Rizal, Manila pada Isnin.

Kemarau jaringan gol berterusan buat skuad kendalian Jacob Joseph ini selepas mencatat keputusan ceri dan tewas tanpa gol dalam dua aksi persahabatan sebelum tiba di Manila ini.

Malayan Tigress tewas 0-6 dan seri 0-0 dengan Bangladesh pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 dan kini diikat pula dengan pasukan yang mempunyai ranking lebih rendah tanpa menghasilkan sebarang jaringan.

Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan itu dilihat sedikit menggangu kelancaran permainan dan kini skuad negara menghadapi tekanan hebat untuk bertemu Indonesia pada 6 Julai nanti.

Jacob juga jelas kecewa dengan barisan pemainnya yang kelihatan panik dan mahu mereka kembali fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Indonesia di Imus City.

“Kita tahu Singapura membuat persediaan rapi sejak dari Sukan SEA dan beberapa perlawanan persahabatan. Malaysia mempunyai masalah dalam kecergasan dan para pemain juga kelihatan mudah panik hingga senang kehilangan bola.

“Kami tidak tahu bagaimana cara Indonesia bermain tetapi saya berharap para pemain akan lebih fokus dan beraksi dengan lebih yakin untuk perlawanan kedua nanti,” jelas Jacob selepas perlawanan.

Sementara itu jurulatih Singapura, Stephen Ng pula berbangga dengan aksi anak-anak buahnya yang dilihat banyak mencipta peluang sepanjang perlawanan.

“Ianya adalah perlawanan yang baik. Kami tahu kami boleh mendapat keputusan yang lebih baik. Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menyudahkannya namun saya berbangga dengan aksi mereka,” ujarnya.

Ianya turut disokong pemain yang bermain untuk kelab Chonburi di Thailand, Putri Syaliza yang gembira dengan keputusan ini dan dia percaya dengan kekuatan yang ada pasukannya dan bersemangat untuk menghadapi kejohanan ini.

Malayan Tigress akan turun bertemu Indonesia pada Rabu manakala Singapura pula akan bertemu pasukan tuan rumah, Filipina dengan masing-masing ingin mencari tiga mata pertama dalam kejohanan ini.