SKUAD Wanita Bawah 18 (B-18) Tahun Kebangsaan menerima kekalahan kedua dalam kempen Kejuaraan AFF Wanita B-18 Tahun 2022 apabila dibelasah Australia 8-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Atletik Jakabaring, Palembang.
Selepas tewas 0-2 kepada Myanmar pada perlawanan pertama, anak-anak buah Kok Keng Lin nyata bukanlah lawan sebenar buat Australia apabila tewas mudah dengan skuad negara ketinggalan 0-4 pada babak pertama.
Hakikat ini turut diakui Keng Lin yang pada awalnya mahu pasukan negara bermain secara bertahan dengan melancarkan serangan balas namun ianya tidak dapat direalisasikan dan akhirnya terpaksa menerima kekalahan kepada ‘The Young Matildas’.
“Kita kena akui yang pasukan Australia ini pertamanya ranking mereka lebih tinggi daripada kita dan pemain-pemain yang mereka ada memang lagi baik dari pemain-pemain Malaysia dari segi teknikal, taktikal mereka.
“Jadi perancangan kami adalah cuba untuk mengurangkan jaringan tetapi apa boleh buat kami masih dibolosi dengan 8-0. Pemain-pemain kita telah cuba sedaya upaya untuk mengurangkan bolos tetapi kita kena terima kenyataan pasukan Australia lebih baik daripada kita,” tegas Keng Lin dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya mengapa skuad negara dibolosi empat gol pada akhir babak kedua, Keng Lin menyatakan ianya lebih kepada kehilangan fokus kerana pemain lebih banyak mengejar bola dan mula keletihan selepas Australia terus mengasak untuk menambah jaringan.
Sementara itu, pemain penyerang negara, Mecca Rania pula kecewa dengan keputusan ini namun mahu pasukan menerima hakikat kekalahan ini dan bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Filipina esok.
“Semua pemain telah memberikan 100 peratus dan kita perlu menerima hakikat yang kita kalah dan kita akan kembali meletakkan fokus kepada perlawanan akan datang menentang Filipina,” kata gadis berasal dari Kuala Lumpur berusia 17 tahun itu.
Malaysia akan turun menentang Filipina dalam aksi terakhir kumpulan dengan kedua-dua pasukan sudah tersingkir. Keng Lin meletakkan sasaran untuk mengutip mata penuh bagi mengelak berada di tangga tercorot Kumpulan B.
“Perancangan kami untuk perlawanan menentang Filipina nanti adalah kami mahu mencatatkan kemenangan. Kami mahu menang sekurang-kurangnya satu perlawanan di sini sebelum kami balik ke Malaysia,” tambahnya lagi.