JARINGAN pada lewat perlawanan menerusi ketua pasukan, Steffi Sarge Kaur menyelamatkan maruah skuad bola sepak wanita kebangsaan selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Indonesia di Stadium Binan, Filipina pada Rabu.

Keputusan seri yang kedua yang dicatatkan pasukan Malaysia selepas terikat tanpa jaringan dengan Singapura pada perlawanan pembukaan Kejuaraan Wanita AFF 2022 dua hari lalu.

Skuad Malayan Tigress tampil tempang selepas dua pemain terpaksa diketepikan kerana Covid-19 dan nyaris berputih mata apabila Indonesia mendahului menerusi jaringan Sheva Imut Furyzcha pada minit ke-74.

Nur Fairshah Erinna Hisham telah diuji positif Covid-19 sebelum perlawanan mengakibatkan teman sebiliknya, Siti Nurfaizah Saidin juga terpaksa diketepikan kerana menjalani kuarantin wajib.

Jurulatih skuad negara Jacob Joseph nyata kurang berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang sekali lagi gagal menjaringkan gol menerusi peluang-peluang yang terhidang.

Malah dia juga juga keliru dengan pematuhan SOP di pertandingan ini yang mengakibatkan pelannya terganggu tanpa kehadiran dua pemain ini.

“Saya sangat kecewa dengan persembahan hari ini kerana kita seharusnya mampu mendahului dengan tiga atau empat gol tetapi kita gagal memanfaatkan peluang yang terhidang. Para pemain juga dilihat tidak secergas perlawanan sebelum ini dan saya tidak pasti sama ada mereka keletihan.

“Saya tidak faham mengapa teman sebilik Farisha perlu menjalani kuarantin. Jika ianya atas sebab kontak rapat maka keseluruhan pasukan harus dikuarantin kerana kami berkongsi tempat makan dan padang latihan yang sama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dengan keputusan tersebut, Malaysia kini di tangga ketiga Kumpulan A dengan dua mata manakala Filipina mendahului dengan enam mata sementara Thailand kedua dengan empat mata.

Carta kedudukan Kumpulan A dilengkapkan oleh Australia, Indonesia dan Singapura dengan masing-masing ditangga keempat, kelima dan keenam dengan satu mata selepas dua perlawanan.

Skuad wanita kebangsaan akan bertemu gergasi Asia Tenggara dan juga tuan rumah, Filipina pada perlawanan seterusnya di Stadium Memorial Rizal pada 8 Julai.