PENYANDANG juara, Terengganu terus kekal cemerlang mengekalkan momentum rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan untuk melangkah ke pusingan suku akhir Piala Agong edisi-38 setelah menafikan Melaka di laman sendiri.

Beraksi dalam situasi cuaca hujan lebat ternyata bukan halangan buat Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih Nik Shahidan Mohd Zin yang turut dibantu oleh jurulatih taktikal Nik Safuan Ismade Nik Man untuk membelasah tuan rumah dengan 12 jatuhan try dan 9 tendangan conversion berkeputusan 78-3.

Terengganu yang hadir selaku pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah seawal minit pertama permainan setelah pemain prop Nas Affie Mohd Salleh bijak menebuk jentera pertahanan Melaka untuk jatuhan try pertama. Nor Azmi Saruman melengkapkan lagi tambahan dua mata melalui tendangan conversion mudah sekaligus meletakkan Terengganu 7-0 untuk mendahului permainan.

Situasi padang yang teruk dibanjiri air hujan lebat berterusan ternyata tidak mampu untuk menyekat momentum Terengganu yang terus berpesta mencipta jatuhan demi jatuhan try sebelum menamatkan aksi separuh masa pertama dengan selesa berkeputusan 33 tanpa balasan.

Pada aksi separuh masa kedua, Terengganu yang melakukan beberapa pertukaran taktikal pemain terus berjaya menambah jurang permainan dengan beberapa jatuhan try lagi yang turut disempurnakan dengan tendangan conversion.

Pada dua minit terakhir permainan, keterujaan Terengganu yang selesa mencipta jurang permainan telah terhukum oleh kesilapan mudah sehingga terpaksa menghadiahkan tiga mata kepada Melaka melalui tendangan penalti yang dikutip oleh pemain fullback Muhammad Afif Ab Rahman pada minit ke-78 permainan meletakkan keputusan semasa 78-03 sehingga tamat permainan.

“Seterusnya cabaran kita akan bermula pada dua minggu lagi untuk bertemu Perlis. Saya mendoakan pemain-pemain Terengganu masih mampu untuk mengekalkan fokus di mana misi kita pada musim ini untuk mempertahankan kejuaraan sekaligus menjadi juara berganda buat kami.

“Tidak dinafikan bermulanya perlawanan suku akhir ini merupakan cabaran sebenar buat setiap yang layak untuk mara memandangkan terdapat beberapa pasukan termasuk Terengganu mendapat ‘bye’ di peringkat kumpulan berikutan terdapat pasukan yang menarik diri di saat-saat akhir.

“Saya menjangkakan tentangan yang lebih sengit akan dihadapi oleh Terengganu selepas ini dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan.” ujar pengurus pasukan Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab kepada FLASH SUKAN.

Kemenangan ini sekaligus melayakkan Terengganu yang hadir selaku penyandang juara edisi lalu untuk melangkah ke pusingan suku akhir bertemu Perlis pada 26 November nanti.