KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon teruja dengan undian Kejohanan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A yang lebih terbuka berbanding Kumpulan B.
Malaysia diundi bersama-sama Thailand, Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste dan Pan-gon mahu mengumpulkan skuad yang cukup mantap bagi menghadapi kejohanan dwi tahunan ini.
Pan-gon dijangka berdepan masalah untuk mengumpulkan pemain terbaik kerana kejohanan Asean ini dilangsungkan di luar Kalendar Fifa sekali gus membenarkan kelab untuk tidak melepaskan pemain menyertai skuad kebangsaan.
Tambah menyesakkan, jadual kejohanan ini juga bertindih dengan tiga kejohanan kelab Asia – Liga Juara-Juara AFC Elite, Liga Juara-Juara AFC 2 dan ACC Shopee Cup yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim, Selangor FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC.
Ianya sekali gus akan menyaksikan keempat-empat kelab ini tidak akan melepaskan pemain terbaik mereka kerana perlu fokus kepada kejohanan benua yang menjanjikan ganjaran lebih tinggi dari segi kewangan dan mata MA ranking Malaysia.
Jurulatih kelahiran Republik Korea itu bagaimanapun kelihatan tenang dan yakin dia serta barisan kejurulatihannya mampu mempersiapkan sebuah pasukan yang mantap untuk memperbaiki keputusan edisi yang lalu iaitu separuh akhir.
“Satu undian yang menarik. Kita bertemu Thailand pada separuh akhir edisi yang lalu serta jiran kita, Singapura yang dijangka menjadi satu lagi pencabar utama serta Kemboja dan satu lagi pasukan dari pemenang kelayakan.
“Kami akan cuba dapatkan pemain-pemain terbaik untuk membina satu skuad yang mantap untuk memberikan saingan dalam kejohanan ini,” katanya selepas majlis undian di Hanoi, Vietnam.
Rekod terbaik Malaysia adalah muncul juara pada edisi 2010 dan menjadi naib juara sebanyak tiga kali pada 1996, 2014 dan 2018 dengan Thailand adalah pasukan terbaik dengan tujuh kejuaraan.
Dalam Kumpulan B pula, naib juara edisi 2022, Vietnam diundi bersama Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos yang akan berentap sebelum dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir untuk merebut kejuaraan Asia Tenggara.