SKUAD Bawah 19 tahun (B-19) negara terus membuktikan mengumpul jumlah jaringan terbesar selepas dua perlawanan apabila membelasah Singapura 5-0 dalam aksi kumpulan C, Piala Asean B-19.

Aksi di Stadium Gelora 10 November, di Surabaya itu menyaksikan skuad bimbingan Juan Torres Garrido secara total menguasai permainan dengan serangan berbahaya bertali arus dilancar ke kubu lawan.

Gol pertama skuad negara terhasil seawal minit ketujuh menerusi jaringan Ridzwan Rosli, disusuli jaringan Naim Zainudin lima minit selepas itu, mengubah kedudukan 2-0.

Singapura yang dipimpin Mohamed Fadzuhasny Juraimi cuba melawan namun kekebalan benteng Malaysia berjaya mengekang setiap asakan mereka.

Sebaliknya, pemain muda negara menambah derita Singapura apabila meraih gol ketiga masa tambahan separuh masa pertama yang disempurnakan G Pavithran.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Garrido memperhebatkan serangan dan berjaya membocori gawang Singapura menerusi ledakan Farish Danis dan Izzat Syahir masing-masing pada minit ke-73 dan 82.

Keputusan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Malaysia menerajui kumpulan C dengan enam mata, mengumpul 16 jaringan tanpa bolos selepas dua pertemuan.

Malaysia akan menutup kempen kumpulan C bertemu Thailand pada Khamis ini di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya.