SKUAD hoki kebangsaan menempuh laluan berliku untuk layak ke final Piala Asia apabila terikat dengan India 3-3 dalam perlawanan kedua Super Four di Stadium Hoki Gelora Bung Karno Jakarta.
Malaysia mensia-siakan peluang mengutip tiga mata meskipun sudah mendahului 2-0 pada babak pertama dan akhirnya terpaksa bangkit pada minit-minit akhir suku keempat.
Razie Rahim menjaringkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12 dan 21 sebelum menyelamatkan Malaysia menerusi jaringan penyamaan ketika permainan berbaki empat minit.
India yang berjaya melakar kejayaan menewaskan Jepun semalam menampilkan aksi bertenaga dan skuad Speedy Tigers dilihat tertekan diasak terutama pada babak kedua.
Tetapi ‘winning mentality’ yang ditunjukkan oleh para pemain kebangsaan sememangnya dipuji dan kini masih mampu untuk layak ke final jika berjaya menewaskan Jepun pada perlawanan terakhir nanti.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang, Korea Selatan mencatat kemenangan selepas menewaskan Jepun 3-1 dan kini mendahului senarai Super Four.
Jepun pula tersingkir dari perebutan ke final dan kini hanya akan bertanding dalam perebutan tempat ketiga dan keempat manakala Malaysia India dan Korea Selatan masing-masing pula masih berpeluang untuk ke final yang akan ditentukan pada perlawanan terakhir Selasa nanti.