SERANGAN yang dilakukan terhadap Palestin mendapat perhatian para penyokong yang hadir ke Piala Asia 2023 dengan pihak berkuasa Qatar membenarkan penyokong membawa bendera sebagai tanda solidariti terhadap apa yang berlaku di Gaza.

Perlawanan pertama Palestin di Piala Asia 2023 menentang Iran mencuri tumpuan apabila penyokong kedua-dua pasukan bergandingan memperagakan bendera Palestin semasa perlawanan sebagai tanda sokongan.

Tambah menarik, ‘minute of silence’ turut dilakukan penganjur di Stadium Education City sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang terkorban ekoran konflik yang melanda wilayah bergolak tersebut.

Tindakan ini mendapat perhatian ramai terutama netizen yang menzahirkan rasa syukur dengan gembira kerana Piala Asia dapat dijadikan pentas untuk solidariti buat Palestin dari seluruh dunia.

Skuad Palestin turun dengan semangat demi tanah air mereka namun tetap tidak mampu menghalang kehebatan Iran yang menang mudah 4-1 sekaligus mendahului Kumpulan C dengan tiga mata.

Palestin bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu pada 18 Januari untuk perlawanan kedua yang akan menentukan nasib mereka sama ada kekal atau tersingkir dari kejohanan terbesar Asia ini.