KETUA Jurulatih Kebangsaan Kim Pan-gon, mengakui Malaysia diundi dalam kumpulan yang sukar namun itu tidak menjadi penghalang buat skuad negara tampil dengan aksi yang akan membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Pada majlis undian yang berlangsung di Qatar hari ini menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

“Ianya satu kumpulan yang sukar. Ada dua pasukan dari rantau Asia Timur dan Korea Selatan adalah salah satu pasukan yang bagus tetapi kami akan lakukan yang terbaik, bersaing dengan mereka dan beri kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi video yang dikongsi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Di bawah kendalian Pan-gon, Malaysia layak ke Piala Asia secara merit buat sejak 43 tahun dan Harimau Malaya menunjukkan kebangkitan luar biasa sejak dibimbing pengendali Korea Selatan itu.

Harimau Malaya berjaya meningkat tujuh anak tangga ke tangga 138 dalam ranking dunia Fifa hasil beberapa siri kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dan kini mula mendapat perhatian para penyokong bola sepak tempatan.

Sebagai persediaan ke Piala Asia AFC yang bakal berlangsung pad Januari 2024, beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa telah diatur FAM pada kalendar antarabangsa Fifa bagi memastikan persiapan yang cukup dimiliki Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan untuk memilih skuad terbaik ke Doha.