SKUAD negara terus tenggelam dalam saingan elit, Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Wanita) di Salalah Oman, apabila menempah kekalahan kedua dengan jaringan besar.

Selepas tewas 2-7 kepada India, giliran Thailand membelasah pasukan bimbingan Nabil Fiqri Mohd Noor dengan keputusan 8-1.

“Lawan kita lebih kuat dari segi fizikal dan mental selain saingan yang diberikan menunjukkan mereka layak untuk menang pada perlawanan hari ini.

“Kekalahan kedua berturut-turut ini tentu memberikan kesan kepada motivasi pemain, namun ini bukan pengakhiran kerana peluang ke separuh akhir masih terbuka di mana kami perlu bermain perlawanan cross-over menentang pasukan daripada kumpulan satu lagi bagi memastikan tempat di separuh akhir,” kata Nabil.

Ketua jurulatih hoki 5 sebelah wanita negara, Nabil Fiqri Mohd Noor sifatkan Thailand terlalu kuat dari segi fizikal dan mental. -Pix AHF

 

Terdahulu, Thailand memimpin perlawanan dengan mendahului 2-0 di babak pertama menerusi jaringan Natthakarn Aunjai dan Sudarat Noo-Keaw, menerusi jaringan padang pada mminit ke-13 dan 15.

Bersambung babak kedua, Thailand melebarkan kedudukan pada minit ke-18, 22 dan 23 menerusi jaringan Noo-Keaw, Aunjai, Sanpoung dan Inpa Kunjira Inpa, menjadikan kedudukan 6-0 sebelum pemain negara memperoleh gol saguhati menerusi jaringan padang Nur Zafirah Aziz pada minit ke-24.

Pemain wanita negara cuba melepasi halangan pemain Thailand. -Pix AHF

Selepas itu Thailand menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-24 dan 30, menerusi Piresram Anongnat dan Sanpoung melengkapkan kemenangan 8-1 ke atas Malaysia.

Empat pasukan bersaing dalam acara Elite, termasuk India dan Jepun.

Thailand memimpin carta saingan dengan dua kemenangan selepas membelasah Jepun 5-1 pada perlawanan pertama semalam.