TONGGAK utama PDRM FC, Fadi Mahmoud Awad Saleh turut tersenarai sebagai pemain yang akan membawa cabaran Jordan pada aksi Piala Asia 2023 bermula Januari ini.
Skuad kendalian Kim Pan-Gon bakal menerima tentangan hebat di pentas berprestij Asia tersebut apabila diundi untuk berdepan dengan Jordan pada 16 Januari 2024 sebelum bertemu Bahrain dan Korea Selatan.
Pengendali PDRM FC sendiri, Datuk Yunus Alif turut berkongsi pandangan mengenai pihak lawan, terutamanya salah seorang ‘ayam tambatan’ Jordan, Fadi Awad.
Beliau tidak menafikan bahawa pemain pertahanannya itu agak licik dan seorang yang rajin membantu pasukan lebih-lebih lagi di bahagian tengah.
Tetapi, Yunus juga menegaskan bahawa Malaysia tidak perlu berasa tergugat akan kehadiran Fadi dalam pasukan kebangsaan Jordan kerana hanya dia yang tahu cara pasukan Harimau Malaya bermain dan agak mustahil untuk pemain selain Fadi mengimplikasikan corak permainan Malaysia.
“Memang dia tahu sedikit sebanyak cara permainan Malaysia tetapi saya yakin KPG mempunyai resipi atau strategi lain untuk menghalang ancaman dari Fadi serta pasukannya.
“Walau apapun, Pan-Gon sendiri tidak boleh memandang rendah terhadap kekuatan Fadi dan harus lebih berwaspada terhadap dirinya,” ujar Yunus kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, Fadi dilaporkan telah menyambung kontrak lanjutan untuk tempoh dua musim lagi bersama PDRM pasti akan menguatkan lagi pertahanan skuad Sang Saka Biru.
Untuk rekod, Fadi telah beraksi dalam 30 perlawanan dalam keseluruhan pertandingan domestik dan berjaya menjaringkan dua gol serta menyumbang satu ‘assist’.
Pemain kelahiran Jordan itu juga berjaya membantu PDRM menjulang Piala Cabaran MFL buat kali pertama dalam sejarah selepas mematahkan harapan skuad Kuching City di pentas akhir.