EMPAT pemain baharu tersenarai menjalani kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa bagi menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar, 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Pemain itu adalah, pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa; pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee serta penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon telah mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei, November lalu.
Senarai pemain dah keluar ! pic.twitter.com/GYVBOKiKvH
— Flash Sukan (@FlashSukan) December 19, 2023
“Sementara 19 pemain diletakkan dalam senarai bersedia jika terdapat perubahan dalam senarai dikeluarkan.
“Bagaimanapun, dua pemain, Sharul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan,” menurut kenyataan rasmi FAM pada Selasa.
Bagi saingan Piala Asia 2023 di Qatar nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub, 25 Januari 2024.