SKUAD Harimau Malaya bakal hadir ke Doha, Qatar dengan persiapan terbaik serta barisan terbaik melibatkan 26 pemain yang bakal membawa nama negara di Kejohanan Piala Asia yang akan membuka tirai pada 12 Januari 2024.

Malaysia layak secara merit selepas 43 tahun dan diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) realistik Harimau Malaya mampu melakar kejutan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga menganggap peluang Malaysia untuk layak ke pusingan 16 terbaik tetap ada dan jika berjaya ianya akan dianggap sebagai bonus kerana kesemua 24 pasukan yang bertanding adalah terbaik.

Untuk merealisasikan impian penyokong melihat Malaysia pergi lebih jauh, Kim Pan-gon memerlukan barisan tengah yang mantap untuk merencana serangan dan juga membantu ketika bertahan.

Dari senarai 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat, Pan-gon dilihat mempunyai banyak pilihan di barisan tengah dengan tujuh pemain bakal merebut tempat mengisi enjin Harimau Malaya berhadapan lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

Pan-gon mempunyai pilihan menerusi Afiq Fazail, Paulo Josue, Stuart Wilkin, Natxo Insa, Endrick Dos Santos, Brendan Gan dan Syamer Kutty Abba dengan kesemua pemain mempunyai kekuatan dan pengalaman untuk membentuk barisan tengah terbaik.

Gandingan Afiq, Natxo, Endrick dan Syamer sudah terbukti berkesan di Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Brendan Gan cemerlang membantu Selangor layak ke Asia manakala Stuart Wilkin dan Paulo Josue juga masing-masing adalah watak penting buat Sabah dan Kuala Lumpur City FC.

Afiq, Natxo, Syamer dan Brendan mempunyai kekuatan sebagai pemain tengah bertahan yang akan melindungi barisan pertahanan manakala Paulo, Endrick dan Stuart memiliki kelebihan membantu serangan.

Tambah menarik, lima daripada tujuh pemain tengah ini beraksi di Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC musim ini sekali gus menambah keyakinan mereka untuk menentang lawan yang lebih kuat.

Keseimbangan yang ada pada barisan tengah skuad ini dilihat dapat membawa kestabilan buat Harimau Malaya dengan kesemua posisi mempunyai pengganti yang mempunyai kekuatan yang sama.

Barisan kejurulatihan sudah pasti mempunyai ramuan mereka tersendiri berdasarkan lawan yang akan ditentang namun ketujuh-ketujuh pemain tengah ini mempunyai karakter yang baik dan bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sahaja apabila diperlukan.

Harimau Malaya mempunyai musim 2023 yang cukup cemerlang dengan tujuh kemenangan, dua seri dan hanya satu kekalahan dalam kalendar antarabangsa Fifa dan Pan-gon mahu menggunakan momentum ini sebagai pemangkin ke Piala Asia.