KEJOHANAN Piala Asia AFC 2023 di Qatar mencatatkan satu rekod baharu apabila menjadi edisi paling ramai dihadiri penyokong dalam sejarah 68 tahun kejohanan.
Pertandingan bola sepak tertinggi Asia itu mencatatkan rekod 1.06 juta penyokong ke stadium selepas perlawanan antara Qatar dan Palestin yang menyaksikan 63,753 penonton membanjiri Stadium Al Bayt di Al Khor.
Edisi ke-18 Piala Asia itu kini berjaya mengatasi angka 1.04 juta penyokong yang dicatatkan hampir dua dekad lalu ketika ianya berlangsung di Republik Rakyat China pada 2004.
Another new record! 👏
1,068,587 fans have attended matches thus far! 🎉
THANK YOU ALL for being part of this wonderful experience 🙏
11 more matches to go, buy your ticket now!https://t.co/7R00Eqa2nV#AsianCup2023 #HayyaAsia pic.twitter.com/ysRxFGE7ly
— AFC Asian Cup Qatar 2023 (@Qatar2023en) January 29, 2024
Jumlah satu juta penonton untuk edisi kali ini berjaya diraih ketika aksi dramatik antara Iraq dan Jordan dimana 35,814 penonton memenuhi Stadium Ahmad Bin Ali untuk menyaksikan Jordan layak ke peringkat suku akhir.
Sebanyak 404,206 tempat duduk ditawarkan dari lapan stadium yang dipilih menjadi venue dan perlawanan pertama kumpulan mencatatkan angka 284,451 kehadiran manakala aksi kedua kumpulan pula dihadiri 337,419 dan 303,007 penyokong hadir menyaksikan perlawanan ketiga kumpulan.
Selepas 40 perlawanan, Piala Asia AFC 2023 ini juga turut merakamkan rekod 1.5 billion penglibatan media sosial dengan purata 26,672 penyokong hadir ke setiap perlawanan untuk menyatakan sokongan terhadap pasukan masing-masing.
Angka 1.06 juta ini juga adalah rekod kehadiran penyokong kedua yang dipecahkan Qatar sebagai tuan rumah selepas rekod kehadiran perlawanan pembukaan tertinggi dengan 82,490 penonton hadir menyaksikan Qatar menewaskan Lebanon di Stadium Lusail.
Berbaki 11 perlawanan dan 523,843 tempat duduk yang ditawarkan, tidak mustahil Piala Asia AFC 2023 boleh mencecah angka 1.1 juta kehadiran di stadium sekali gus menjadikan edisi ini sebagai edisi terbaik pernah dianjurkan.