PENGURUS pasukan Harimau Malaya Bawah 17 Tahun negara, Christopher Raj mahu para pemain menjadikan sasaran ke separuh akhir Kejohanan Piala Asia AFC B-17 sebagai motivasi buat mereka kerana tiket ke Piala Dunia B-17 2023 menjadi taruhan dan menempa sejarah menjadi pasukan pertama negara layak ke Piala Dunia.

Berdasarkan format Kejohanan Piala Asia AFC B-17 kali ini, empat pasukan terbaik yang layak ke separuh akhir akan meraih tiket automatik ke Piala Dunia B-17 tahun yang dijadualkan pada November 2023.

Dia turut mengakui bahawa peluang untuk barisan pemain muda negara agak cerah tetapi mereka perlu fokus mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu.

“Saya kata kepada pemain-pemain, tidak pernah dalam sejarah Malaysia mana-mana pemain layak ke Piala Dunia tidak kira peringkat senior atau sebagainya, dan tahun ini adalah tahun terakhir di mana Piala Dunia Remaja dimainkan secara dwi tahunan kerana bermula 2025 ianya akan diadakan secara tahunan untuk peringkat B-17 dan B-19 tahun.

“Jadi saya katakan kepada pemain, jika mereka ingin buat sejarah, kali ini mereka kena buat sejarah kerana ia bukan sahaja akan diingati oleh negara tetapi juga untuk untuk sejarah diri sendiri,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.

Christopher juga menjelaskan bahawa tumpuan utama pasukan buat masa ini adalah memastikan keputusan positif dapat diraih pada tiga aksi peringkat kumpulan dan suku akhir sebelum memikirkan tentang potensi mara ke kelompok empat negara terbaik.

“Saya pasti jika pasukan bermain dengan baik, bersikap positif dan tampil penuh yakin pada setiap aksi di peringkat awal, kita boleh mara ke peringkat separuh akhir. Namun, saya lebih berminat untuk pasukan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan andai lepasi peringkat kumpulan, kita akan menentang pasukan yang hebat seperti Korea Selatan, Iran atau Qatar,” tambahnya.

Skuad B-17 negara yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka kempen menentang Yemen pada 15 Jun diikuti perlawanan kedua berdepan Thailand pada 18 Jun dan perlawanan terakhir menentang Laos pada 21 Jun.

Dalam perkembangan yang sama, Christopher turut menjelaskan skuad B-17 ini akan terus dikekalkan kerana Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah menetapkan bahawa skuad ini adalah skuad yang mewakili negara di temasya Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur dan juga untuk pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.