PENGENDALI skuad Bawah 17 kebangsaan, Osmera Omaro mahu anak-anak buahnya bangkit pada perlawanan kedua menentang Thailand pada Ahad selepas tewas 0-4 kepada Yemen pada aksi pembukaan Piala Asia AFC B-17 2023 di Stadium Thammasat pada Khamis.
Osmera mengakui bahawa Yemen adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan itu dan banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk menghadapi perlawanan selepas ini.
Malaysia tewas 0-4 kepada Yemen dengan skuad muda negara kelihatan gugup dan gagal membuat keputusan yang baik dalam padang selain kesilapan individu yang menyumbang kepada kekalahan besar itu.
“Yemen adalah pasukan yang baik dan tahniah kepada mereka. Saya rasa kami tidak bermain dengan baik dan Yemen adalah pasukan yang lebih baik dan kami perlu perbaiki pasukan.
“Ini adalah normal dan ini adalah bola sepak dengan ada yang menang dan ada yang kalah tetapi kami perlu bangkit dan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media.
Osmera turut mengesahkan terdapat satu kecederaan hentakan kepala kepada Faris Danish dan akan menunggu keputusan ujian dari pasukan perubatan sebelum menetapkan sama ada dia mampu bermain atau tidak ketika berdepan Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN: Hamidin tak sangka Malaysia B-17 kalah perlawanan pertama
Dalam perkembangan yang sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin jelas terkejut dengan kekalahan itu namun dia masih yakin skuad muda ini akan bangkit dan layak ke peringkat seterusnya.
Malaysia kini perlu menang ke atas Thailand pada Ahad jika mahu memastikan tidak tersingkir dari kejohanan ini dengan empat pasukan terbaik akan layak ke Piala Dunia Fifa B-17 pada November.