HARAPAN skuad Bawah 17 tahun kebangsaan untuk melakar sejarah layak buat kali pertama ke Piala Dunia (B-17) tidak kesampaian apabila terpaksa pulang awal selepas tewas kali kedua dalam Kejohanan Piala Asia AFC B-17 di Thailand.
Pasukan kendalian Osmera Omaro yang memerlukan kemenangan selepas tewas perlawanan pertama kepada Yemen, tidak dapat menyekat kemaraan pasukan tuan rumah, Thailand apabila tewas 0-3 dalam aksi di Stadium Pathum Thani.
Skuad muda negara yang turun tanpa empat pemain utama akibat kecederaan kurang melakukan percubaan merbahaya ke kubu Thailand dengan pemain dilihat masih dibelenggu dengan masalah pembuatan keputusan.
PIALA ASIA AFC B-17 2023
FT: Malaysia B-17 0-3 Thailand B-17
⚽ Pacharaphol Lekkun 45'+2, Chanasorn Choklap 54', Chanotai Kongmeng 78'#HarimauMalayaB17#AFCU17 pic.twitter.com/jQbdGmeVxG
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 18, 2023
Ketika perlawanan babak pertama sudah hampir ditamatkan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan, gawang Malaysia bocor pada minit-minit terakhir selepas kegagalan tiga pemain pertahanan gagal menghalang hantaran lintang untuk gol pertama Thailand.
Bersambung babak kedua, tidak sampai 10 minit, gawang Malaysia bocor sekali lagi selepas pertahanan negara seakan-akan terpaku melihat hantaran demi hantaran pasukan Thailand yang akhirnya memberikan gol kedua.
Skuad Gajah Perang muda bijak mengatur gerak dan bertahan dengan baik sehingga pemain Malaysia tidak mempunyai idea untuk menembusi benteng dengan banyak melakukan kesilapan dan percubaan jarak jauh yang sia-sia.
Thailand memadamkan api saingan Malaysia apabila dengan mudah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-78 sekaligus menutup peluang negara untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri untuk kekal dalam pertandingan ini sehingga perlawanan akhir kumpulan.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia tersingkir dari kejohanan dan hanya maruah yang perlu dipertahankan apabila turun menentang Laos yang juga sudah tersingkir pada Selasa.
Thailand dan Yemen mengesahkan tempat ke suku akhir dengan enam mata apabila masing-masing menang dalam dua perlawanan dan akan bertemu sesama sendiri untuk menentukan siapakah yang bakal menjadi juara kumpulan.
Buat Malaysia, banyak persoalan yang perlu dijawab apabila masih gagal menjaringkan sebarang gol dan dibolosi tujuh kali dalam dua perlawanan dan tersingkir dari kejohanan.