PASUKAN Bawah 17 Kebangsaan mengakhiri kempen Kejohanan Piala Asia AFC B-17 dengan satu kemenangan selepas menewaskan Laos 2-1 dalam aksi di Stadium Thammasat sekaligus menduduki tempat ketiga Kumpulan A dengan tiga mata.
Selepas tersingkir awal daripada kejohanan berikutan mengalami dua kekalahan berturut-turut ke atas Yemen dan Thailand, anak-anak buah Osmera Omaro bangkit dari ketinggalan untuk akhirnya mencatat kemenangan dan mengelak tempat terbawah kumpulan.
Dua gol dari Dainei Mat Isa pada setiap babak memastikan skuad muda negara tidak pulang dengan tangan kosong dan berjaya mengelak dari tewas kepada satu lagi lawan dari rantau Asia Tenggara.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan A Piala Asia B-17 2023
MALAYSIA 2-1 LAOS
⚽️ Dainei Mat Disa 43’ 78’
⚽️ Sayfon Keohanam 12’#HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/ryYywF3AhA— Flash Sukan (@FlashSukan) June 21, 2023
Osmera ketika menjawab soalan FLASH SUKAN di sidang media selepas perlawanan mengakui tekanan yang berkurangan pada perlawanan terakhir ini menjadikan pemainnya mampu mempamerkan aksi sebenar dengan keyakinan yang semakin meningkat.
“Kami gembira dengan kemenangan ini kerana kami bermain kurang baik dalam dua perlawanan sebelum ini dan berjaya tunjukkan apa yang kami mampu berikan pada perlawanan ini. Tanpa tekanan kami berjaya bermain permainan kami dengan kami cuba tingkatkan tempo dan ketika pemain sudah mendapat keyakinan segalanya berjalan dengan baik.
“Pembangunan pemain adalah keutamaan utama buat kami walaupun tidak gembira dengan keputusan. Pemain akan tinggalkan kami untuk ke kelab dan harap mereka dapat memilih kelab yang terbaik membantu membangunkan mereka sebagai pemain profesional,” katanya.
Dalam satu lagi perlawanan, tuan rumah Thailand membuktikan kejaguhan mereka apabila berjaya mencatat kemenangan ketiga dengan menewaskan Yemen 1-0 menerusi jaringan pada minit akhir permainan sekaligus bergelar juara kumpulan dan akan menanti pasukan tempat kedua Kumpulan B pada aksi suku akhir.