SKUAD Bawah-17 Tahun Kebangsaan kini sedang giat menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan pembukaan Piala Asia AFC B-17 menentang Yemen di Stadium Thammasat, Thailand pada Rabu.

Barisan pemain muda negara kelihatan bersemangat menjalani latihan di padang Yamaoka Hanasaka Academy 3 milik kelab BG Pathum dan ianya mendapat pujian daripada pengendali negara, Osmera Omara.

Dia menganggap fasiliti latihan yang disediakan oleh tuan rumah adalah sangat bagus dan berkualiti sekaligus membantu persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan ini.

Pusat Latihan Yamaoka Hanasaka milik BG Pathum

“Fasiliti disini minimalistik tetapi semua lengkap. Padang ‘top class’. Fasiliti ini adalah milik Bangkok Glass dan saya dengar setiap kelab di Thailand ada fasiliti yang sebegini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Perkara ini seharusnya menjadi ikutan atau ‘role model’ kepada setiap kelab di Malaysia untuk mengutamakan pusat latihan yang lengkap dan mempunyai padang yang berkualiti kerana itu adalah kemudahan asas bola sepak.

Malaysia akan meneruskan latihan di Alpine Football Camp Training pada Selasa sebagai persiapan akhir sebelum sepak mula kejohanan yang menjanjikan tiket ke Piala Dunia Fifa B-17 kepada empat pasukan terbaik Asia.