PENGENDALI skuad Bawah 17 Tahun kebangsaan, Osmera Omaro menolak persepsi bermain di Thailand akan memberikan kelebihan buat anak-anak buahnya beraksi di Kejohanan Piala Asia AFC B-17 tahun yang bermula pada Rabu.
Ini selepas Malaysia dan Laos dikatakan mempunyai kelebihan apabila beraksi di Thailand kerana tidak perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran berbanding pasukan dari Timur Tengah, Asia Barat dan Asia Timur.
Namun Osmera tidak memikirkan tentang perkara itu sebaliknya hanya mahu pemainnya memberikan aksi terbaik dan menimba sebanyak mana pengalaman yang hadir menerusi kejohanan ini.
Skuad Harimau Malaya B-17 berlepas ke Bangkok, Thailand untuk Kejohanan Piala Asia AFC B-17.#AFCAsiaCupU17#HarimauMalayaB17 pic.twitter.com/r72G27nqc4
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 12, 2023
“Ini peluang terbaik buat kami untuk beraksi di kejohanan ini bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik Asia dan kami tidak sabar untuk mahu berikan yang terbaik dan banggakan negara serta belajar dari kejohanan ini.
“Kami telah berkumpul dan berlatih dalam tempoh yang agak singkat dan ada dua perlawanan persahabatan dengan pasukan antarabangsa dan harap ianya cukup untuk beri kelebihan buat kami dalam kejohanan ini.
“Bagi kami bermain di Thailand, kami tidak memikirkan tentangnya dan ianya tidak memberikan banyak kelebihan tetapi kami telah diberikan fasiliti latihan yang sangat bagus dan saya ucapkan tahniah kepada tuan rumah, Thailand,” katanya dalam sidang media rasmi kejohanan.
Selain itu, Osmera juga tidak mahu para pemain berasa tertekan dengan komen-komen penyokong di sosial media kerana mereka perlu memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan.
Namun baginya perkara ini adalah sesuatu yang baik kerana penyokong di Malaysia sudah mula menumpukan perhatian kepada skuad remaja kali ini dan dia perlu memperkemaskan lagi beberapa perkara dan bersedia untuk menghadapi kejohanan ini.
Sementara itu lawan Malaysia pada perlawanan pertama Yemen menerusi pengendalinya Mohammed Hasan Ali Albaadan pula menganggap skuad muda Harimau Malaya kini semakin bagus dan meningkat naik namun mereka mahu memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.
“Kami telah bersedia selama enam bulan dan berharap dapat berikan yang terbaik di kejohanan ini walaupun kami sedar yang pasukan Malaysia sedang meningkat dan menunjukkan perkembangan yang baik.
“Saya memberikan pujian kepada barisan kejurulatihan Malaysia yang telah melakukan tugas dengan baik dan kami menghormati mereka tetapi mahu memastikan tiga mata pada perlawanan pertama,” katanya dalam sidang media yang sama.
Malaysia akan membuka tirai saingan Piala Asia AFC B-17 bertemu Yemen pada Rabu dengan kemenangan dalam perlawanan pertama pastinya memberikan momentum terbaik buat pasukan untuk layak ke peringkat suku akhir.