PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai 24 pemain bagi menyertai kem latihan pusat bermula 19 hingga 27 Disember 2023 sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang dijadualkan berlangsung di Qatar, April depan.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya B-23, Juan Torres Garrido juga memanggil tiga pemain yang tidak menyertai kem latihan pusat terdahulu pada 13 hingga 21 November 2023, Mukhairi Ajmal Mahadi, Ruventhiran dan Alif Zikri Zaini Anuar.
Ia bagi mengisi ketiadaan Ubaidullah Shamsul Fazili, Adam Farhan Mohd Faizal dan Haqimi Azim Rosli yang tidak dapat menyertai kem kali ini kerana masalah kecederaan.
Para pemain akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa sebelum dijadual berlepas ke Shanghai, China 21 Disember 2023 bagi menghadapi dua perlawanan Antarabangsa Tier 2 menentang China B-23 di sana.
“Pemain terlibat perlawanan pada Sabtu, 23 Disember dan Selasa, 26 Disember 2023, sebelum kembali ke tanah air pada hari berikutnya,” kata kenyataan itu.
Bagi kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar nanti, skuad Harimau Malaya B-23 yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam pada 20 April dan Kuwait pada 23 April 2024.