FOTO : AFC

SKUAD Indonesia bawah 23 (B-23) akan menghadapi pasukan kuat, Uzbekistan B-23, pada separuh akhir Piala Asia B-23 2024 di Stadium Abdullah Bin Khalifa, Doha pada Isnin.

Justeru itu, pasukan Garuda Muda mesti lebih berwaspada apatah lagi Uzbekistan tidak pernah tewas sejak fasa kumpulan D sehingga suku akhir.

Malah, daripada empat perlawanan sebelum ini, bekas Kesatuan Soviet mencatat rekod bersih dengan jumlah 12 gol.
Mereka menewaskan Malaysia 3-0, Kuwait 5-0, Vietnam 2-0 dalam peringkat kumpulan, dan menyingkirkan Arab Saudi 2-0 di suku akhir. Rekod ini adalah amaran buat Indonesia

“Ini akan menjadi perlawanan yang menarik untuk ditonton, terutamanya melihat taktik baharu yang akan digunakan oleh Shin Tae-yong. Pasukan kebangsaan B-23 Indonesia selaku debut sulung amat mengejutkan dalam kejohanan ini. Mereka mengharungi perlawanan yang sukar, manakala perjalanan Uzbekistan agak lancar,” kata Raja Isa Raja Akram Shah ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Image

Penyokong Indonesia selalu menyokong pasukan mereka dengan penuh semangat!

Bekas pengendali PSM Makassar dan Persijap Jepara itu memuji mentaliti Rizki Ridho dan rakan-rakannya yang semakin mantap dengan peningkatan prestasi mereka ketika berdepan lawan sengit yang penuh tekanan.

“Misi Indonesia untuk layak terus ke Sukan Olimpik Paris adalah motivasi besar. Mereka sangat memerlukan perlawanan menentang Uzbekistan ini. Saya pasti semangat pemain Indonesia akan lebih tinggi di atas padang nanti,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Raja Isa, Indonesia memerlukan penambahbaikan dan kesabaran untuk menghadapi corak permainan Eropah Uzbekistan.

“Ramai pemain Uzbekistan bermain di Eropah. Gaya permainan mereka sangat Eropah. Mereka pandai menguruskan rentak permainan, bila mengekalkan penguasaan bola, bila bergerak pantas dalam peralihan menyerang dan bertahan. Jadi, Indonesia mesti sabar dengan ini,” katanya.

Pun begitu, Raja Isa tidak meragui kebolehan pemain Indonesia.

“Indonesia telah menewaskan Australia yang mempunyai corak permainan seperti Eropah. Begitu juga dengan Korea Selatan dengan gabungan Asia dan Eropah. Pemain Indonesia cemerlang dalam kepantasan dan ketangkasan,” katanya.

Raja Isa bongkar tips ‘rahsia’ utama kelemahan Bengal Tigers

Raja Isa ada pengalaman melatih kelab besar di Liga Indonesia.

Bekas jurulatih UiTM FC itu berharap Indonesia tidak terpengaruh dengan corak permainan Uzbekistan.

“Indonesia ada segala-galanya. Pada pendapat saya, Indonesia kali ini mesti lebih berani menyerang dengan tekanan tinggi seperti ketika menentang Korea Selatan. Cara ini boleh mengganggu dan merosakkan strategi Uzbekistan,” jelasnya.

Indonesia berazam untuk melanjutkan penglibatan mereka dalam kempen kali ini dengan pasukan Asia Tenggara itu menyasarkan untuk mencipta lebih banyak sejarah apabila menentang Uzbekistan pada separuh akhir di Stadium Abdullah Bin Khalifa.

Penampilan pertama mereka adalah satu pendedahan, mara ke peringkat kalah mati dengan menewaskan Australia dan Jordan sebelum mengejutkan Republik Korea di suku akhir.

Bagaimanapun, mereka akan menghadapi cabaran terbesar mereka apabila berhadapan Uzbekistan. Adakah misi mereka berjaya ke final sekali gus menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 ?