MENJELANG perlawanan hari pembukaan, Flash Sukan melihat fakta menarik dan angka penting bagi edisi keenam kejohanan Piala Asia B-23 Qatar 2024.

Sebanyak 16 pasukan, termasuk Malaysia akan bertanding dalam Piala Asia B-23 yang akan diadakan di Qatar. 12 pasukan sudah menyertai Piala Asia B-23 lebih 5 kali, dengan ini juga merupakan penampilan ketiga berturut-turut buat Harimau Malaya di pentas ini.

Lima pasukan dari AFF akan bermain di bumi Qatar iaitu Malaysia, Australia, Thailand dan Vietnam yang tidak asing lagi di kejohanan bawah 23 ini manakala Indonesia pula akan melakukan debut mereka selepas gagal melayakkan diri sebanyak lima kali sebelum ini.

Ini merupakan penampilan ketiga Malaysia dalam Piala Asia B-23. (Sumber Gambar: FAM)

Pasukan-pasukan yang menjuarai edisi lalu Piala Asia B-23 iaitu Arab Saudi (2022), Korea Selatan (2020), Uzbekistan (2018), Jepun (2016) dan Iraq (2013) kesemuanya layak bagi edisi kali ini dan semua pasukan yang disebut mempunyai peluang untuk menjadi pasukan pertama untuk menjuarai kejohanan bawah 23 ini sebanyak dua kali.

Arab Saudi tampak menjadi pilihan utama apabila turun ke Qatar sebagai juara bertahan. Mereka juga mempunyai rekod yang baik dalam kejohanan ini apabila mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir sebanyak tiga kali dalam lima edisi sebelum ini.

Kelayakan Piala Asia B-23 baru-baru ini menyaksikan pasukan seperti Iraq, Uzbekistan dan Arab Saudi muncul sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol. Iraq menjaringkan 21 gol, dua gol lebih banyak daripada Uzbekistan manakala Arab Saudi pula menjaringkan 12 gol secara keseluruhan dalam tempoh kelayakan itu.

Arab Saudi, Korea Selatan, Uzbekistan, Jepun dan Iraq mempunyai peluang untuk menjadi juara untuk kali kedua dalam sejarah kejohanan. (Sumber Gambar: AFC)

Enam pasukan lain iaitu Indonesia, Jepun, Jordan, Korea Selatan, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menempah tempat mereka di pusingan akhir tanpa bolos walaupun sekali dalam ketika kelayakan tempoh hari.

Tiga pasukan teratas akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, dengan pasukan di tempat keempat akan menentang Guinea dalam playoff pada 9 Mei untuk kemungkinan pasukan Asia keempat mara ke temasya itu.

Negara-negara yang sudah layak untuk acara bola sepak Sukan Olimpik Paris 2024.

Jepun (1968) dan Korea Selatan (2012) adalah satu-satunya pasukan Asia yang memenangi pingat di Sukan Olimpik dengan kedua-duanya menduduki tempat ketiga. Walau bagaimanapun, tiada pasukan Asia memenangi pingat sejak Piala Asia B-23 menjadi kelayakan Olimpik pada 2016.

Kami di FLASH SUKAN ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan Harimau Malaya B-23 dan semua pasukan yang bertanding dalam Piala Asia B-23 kali ini.