MALAYSIA B-23 kini terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Asia B-23 Qatar 2024 dengan lebih awal.

Kekalahan Harimau Malaya 0-2 kepada Vietnam B-23 pada aksi kedua Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa menyebabkan perjuangan mereka untuk mara lebih jauh punah selepas tersingkir daripada kejohanan benua itu.

Pada awal permainan, Malaysia menunjukkan semangat menyerang dan mendapat lebih banyak peluang untuk mencapai gol.

Fergus Tierney dikejar oleh pemain pertahanan Vietnam B-23. (Sumber Gambar: FAM)

Mereka tampil dengan aksi yang lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini memperlihatkan pemain di bahagian serangan dapat membuat percubaan terhadap pintu gol lawan tetapi perkara sebaliknya berlaku.

Tetapi, Vietnam B-23 pula yang berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-39 hasil sepakan percuma cantik daripada Khuat Van Khang.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Hoang Anh Tuan beraksi dengan lebih baik apabila sentiasa mengatur pergerakan untuk mengasak kubu gol Malaysia.

Antara penyokong Malaysia yang hadir ke Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha. (Sumber Gambar: FAM)

Malaysia terus dihukum daripada situasi ini apabila pemain pertahanan muda negara, Ubaidullah Shamsul melakukan kesilapan yang menghadiahkan sepakan penalti buat Vietnam.

Vo Hoang Minh Khoa menggunakan peluang itu bagi melebarkan jurang jaringan dan seterusnya memastikan kemenangan sensasi milik Vietnam.

Ia merupakan kali kedua Malaysia B-23 terkeluar daripada saingan Piala Asia B-23 di peringkat kumpulan selepas turut tersingkir pada edisi 2022 di Uzbekistan.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido akan menghabiskan sisa kempen mereka pada kejohanan ini dengan berdepan Kuwait B-23 pada 23 April.