MALAYSIA sedang berusaha untuk menggapai kemenangan pertama mereka dalam Piala Asia B-23 Qatar 2024 apabila mereka akan menentang Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Sabtu.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido pula perlu tampil dengan aksi yang lebih baik dan menyegarkan selepas menonjolkan aksi longlai ketika kalah 2-0 kepada Uzbekistan tempoh hari.
Dipaksa untuk berada di belakang oleh Uzbekistan dalam perlawanan pertama mereka, penyerang Malaysia bagaikan tidak wujud dalam permainan tetapi ketua jurulatih Juan Torres Garrido sedang mencari perubahan itu ketika menentang Vietnam nanti.
Garrido berhasrat untuk bermain dengan gaya permainan yang lebih menyerang dan berharap ini akan menyaksikan Malaysia menghidupkan semula peluang mereka untuk ke fasa seterusnya.
“Perlawanan lepas, kami menghabiskan banyak masa di bahagian sendiri kerana kami berdepan lawan yang bagus tetapi dalam perlawanan akan datang, kami perlu mengubahnya dan menjadi lebih berani.
“Perlawanan demi perlawanan, kami sentiasa cuba meningkatkan. Mungkin cara kami mahu menyerang, itu memerlukan kerja tambahan,” kata Garrido.
Bagi Vietnam pula, kemenangan 3-1 ke atas Kuwait dalam perlawanan pertama mereka memberi peluang kepada Vietnam untuk mara ke peringkat seterusnya pertandingan sekiranya mereka memperoleh kemenangan kedua dalam Kumpulan D menentang Malaysia dan jika Uzbekistan turut mengutip ketiga-tiga mata menentang Kuwait.
Ketua jurulatih Hoang Anh Tuan berkata cajnya dirangsang oleh permulaan positif mereka ke kejohanan dan finalis 2018 berhasrat untuk memastikan kemajuan seawal mungkin, tetapi perlu berbuat demikian tanpa khidmat pemain pertahanan Nguyen Ngoc Thang yang digantung selepas dia dikenakan kad merah ketika menentang Kuwait.
“Saya hanya mempunyai 10 hari bersama pasukan, dan tidak boleh membuat terlalu banyak perubahan,” kata Hoang.
“Tetapi saya harap selepas setiap perlawanan, anda akan melihat bagaimana mereka bertambah baik.
“Menjelang kejohanan ini, kami membuat persiapan untuk ketiga-tiga perlawanan, bukan sahaja perlawanan pertama, tetapi saya tidak boleh berkongsi butirannya. Kami sentiasa bersedia.
“Perlawanan seterusnya sangat penting, kerana jika kami mendapat keputusan yang baik kami boleh layak ke pusingan seterusnya,” katanya lagi.
Kali terakhir Malaysia B-23 bertemu Vietnam B-23 adalah ketika kejohanan AFF B-23 tahun lepas, dimana Malaysia tumpas 1-4 kepada Vietnam.