QATAR membuka kempen Kumpulan A Piala Asia AFC B-23 dengan bergaya selepas menundukkan Indonesia 2-0 dalam aksi di Stadium Jassim bin Hamad pada Isnin sekaligus mengungguli carta kumpulan.
Tuan rumah bagaimanapun sedikit bergelut meskipun Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain dari awal babak kedua namun dua jaringan daripada Khalid Ali Sabah dan Ahmed Al Rawi cukup untuk memberikan tiga mata buat Qatar.
Perlawanan berlangsung agak seimbang pada babak pertama dengan Qatar lebih banyak menguasai pada awal permainan sebelum kesilapan kapten Indonesia Rizky Ridho menghadiahkan sepakan penalti buat Qatar ketika tambahan masa separuh masa pertama.
Final match result between Qatar and Indonesia
🇶🇦🆚🇮🇩#AsianCupU23 #HayyaAsia #AFCU23 #RoadtoParis2024 pic.twitter.com/lk160ihnX7
— AFC U23 Asian Cup Qatar 2024™ (@Qatar2023en) April 15, 2024
Selepas melakukan penilaian dari Video Bantuan Pengadil (VAR), Khalid Ali Sabah mudah menyempurnakan penalti untuk memberikan kelebihan buat Qatar dan gol itu nyata menyentak semangat melawan Indonesia.
Malang berganda buat Garuda Muda selepas sebaik bermula babak kedua, Ivan Jenner diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua sekaligus menyaksikan Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Keadaan bertambah parah buat Indonesia pada minit ke-54 selepas Witan Sulaeman memberikan sepakan percuma kepada Qatar dan Ahmed Al Rawi menyempurnakan satu sepakan percuma yang cukup cantik dari jarak 30 meter untuk memberikan Qatar kelebihan dua gol.
Group A concludes with Qatar 🇶🇦 leading the table#AsianCupU23 #HayyaAsia #AFCU23 #RoadtoParis2024 pic.twitter.com/9UXpsEk21u
— AFC U23 Asian Cup Qatar 2024™ (@Qatar2023en) April 15, 2024
Kisah malang Indonesia berpanjangan sehingga tambahan masa babak kedua apabila Ramadhan Sananta pula dilayangkan kad merah yang pada awalnya diberikan kad kuning selepas bantuan VAR mendapati dia melakukan kekasaran kepada pemain Qatar.
Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan meskipun mencipta kemenangan, Qatar terpaksa menelan realiti dengan dua penjaringnya mengalami kecederaan dan kini mungkin tidak dapat diturunkan dalam aksi kedua bertemu Jordan pada Khamis.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Jordan berjaya mengikat Australia 0-0 di Stadium Abdullah Bin Khalifa untuk berkongsi satu mata menjelang aksi kedua pada Khamis.