PENGENDALI skuad B-23 tahun kebangsaan, Juan Torres Garrido mengakui aksi persahabatan menentang Qatar adalah persiapan yang cukup baik buat pasukannya menjelang kejohanan Piala Asia B-23 yang akan bermula pada 15 April 2024 di Doha, Qatar.

Ini kerana baginya, aksi bertemu Qatar adalah umpama perlawanan sebenar kerana lawan dilihat lebih bersedia, pantas dan mempamerkan aksi bertenaga yang dilihat sebagai simulasi aksi sebenar ketika kejohanan.

“Kami bermain empat perlawanan setakat ini tetapi hanya dua aksi dengan skuad penuh. Dua perlawanan di Qatar ini cukup baik terutama perlawanan menentang Qatar kerana kami beraksi di stadium dan ianya simulasi aksi sebenar bertemu lawan yang kuat dengan permainan yang pantas dan ianya satu pengalaman yang baik buat kami.

“Qatar kelihatan lebih bersedia ketika ini tetapi kita mempunyai tujuh hari lagi untuk perbaiki prestasi serta untuk persiapkan pasukan dan barisan kejurulatihan sudah tahu apa yang perlu diperbaiki serta tahu kekuatan pasukan dan bagus untuk hadir lebih awal di sini,” katanya.

Dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Abdullah Bin Khalifa itu, Malaysia tewas 0-1 kepada Qatar menerusi jaringan penalti pada penghujung babak pertama dan Garrido melihat pemain sedikit bergelut pada awalnya namun cepat mengadaptasi terhadap perlawanan.

“Kami sedikit bergelut pada babak pertama untuk mencari gol penyamaan kerana kelajuan aksi yang ditunjukkan pihak lawan, bagaimanapun kami berjaya mengawal permainan pada babak kedua dengan pasukan berjaya mengadaptasi dengan baik dan secara keseluruhan saya rasa aksi ini sangat penting sebagai sebahagian daripada persiapan,” jelasnya.

Juan Torres yakin skuad akan bersedia menjelang kejohanan sebenar

Dalam pada itu sedikit khabar duka melanda kem negara apabila pemain tengah, Aiman Afif dilanda kecederaan dan pasukan sedang meneliti tahap kecederaannya menjelang kejohanan.

“Sedikit malang apabila Aiman Afif mengalami kecederaan dan kami perlu periksa untuk melihat tahap kecederaannya dan ada beberapa pemain lain juga yang sedang dalam proses pemulihan dari kecederaan ringan,” ujarnya selepas perlawanan.

Malaysia bakal menghadapi Qatar sekali lagi sebelum membuka tirai kejohanan bertemu Uzbekistan untuk perlawanan pertama Kumpulan D yang turut disertai Vietnam dan Kuwait bagi merebut dua tempat teratas untuk menempah tempat ke suku akhir.