SEBELUM memulakan kempen Piala Asia Bawah 23 di Qatar, pengendali Indonesia, Shin Tae-yong meletakkan sasaran layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir pada kejohanan sulung mereka.

Pada Khamis malam di Stadium Abdullah Bin Khalifa, bekas pengendali Republik Korea itu menyaksikan sendiri pasukan didikannya menewaskan pasukan negara kelahirannya untuk layak ke separuh akhir dan meneruskan impian ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sejurus perlawanan, Tae-yong menjelaskan dia sememangnya yakin barisan pemainnya mampu untuk sampai ke tahap itu kerana melihat sendiri progres mereka sejak mengambil tugas ketua jurulatih pada 2019.

Shin Tae-yong sudah mengenali para pemainnya sejak empat tahun lalu (kredit foto: AFC)

“Ernando Ari, Rizky Ridho, Pratama Arhan – kesemua pemain ini sudah bersama saya selama empat tahun. Saya sangat mengenali mereka dan apa yang perlu saya berikan adalah motivasi dan jika saya boleh lakukan itu, saya yakin kami mampu mendapat keputusan yang diinginkan dan layak ke final.

“Saya beritahu para pemain untuk percaya dan mengikut arahan saya dan kita akan ke final. Saya yakin tahap keyakinan tinggi yang diberikan kepada pemain adalah faktor utama yang membawa kita sampai ke tahap ini,” katanya.

Kemenangan 11-10 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa penuh menyaksikan Indonesia memadam rekod kelayakan Olimpik Republik Korea dan juga menjadi pasukan ke-10 yang layak ke semi final sepanjang sejarah kejohanan ini berlangsung.

Ernando Ari cemerlang di Piala Asia B-23 (kredit foto: AFC)

Wira Indonesia ketika penentuan penalti selepas menyelamatkan dua penalti lawan serta menjaringkan satu gol, penjaga gol, Ernando Ari juga bertambah yakin dan kini telah meletakkan sasaran lebih besar buat dirinya dan juga pasukan Garuda Muda.

“Kami percaya antara satu sama lain dan kini giat berlatih kerana kita perlu meneruskan perjuangan kerana perlawanan separuh akhir ini bukanlah penamatnya sebab kita mahu muncul juara kejohanan ini,” katanya bangga.

Indonesia bakal bertemu Uzbekistan pada separuh akhir dan kemenangan akan menjamin tempat ke final dan juga peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024 – satu sejarah yang pastinya akan dikenang sampai bila-bila sekiranya magis dapat dilakukan di Stadium Abdullah Bin Khalifa.