KETUA jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Indonesia, Shin Tae-yong tidak menolak faktor tekanan mungkin menjadi faktor utama yang menamatkan perjuangan mereka di Kejohanan Piala Asia B-23 selepas tewas di tangan Uzbekistan 0-2 dalam aksi separuh akhir.
Wakil tunggal Asia Tenggara itu dilihat berdepan kesukaran dalam aksi di Stadium Abdullah Bin Khalifa dengan Uzbekistan menampilkan aksi dominan sepanjang 90 minit permainan dengan serangan bertali arus.
“Saya hargai usaha gigih dari pasukan walaupun sebelum sepak mula, pemain kelihatan sedikit gugup dan ini mungkin mempengaruhi aksi sepasukan kerana biasanya kita beraksi sangat bagus.
“Uzbekistan lakukan sangat baik dan mereka sangat kuat. Saya ucapkan tahniah pada mereka dan mahu berterima kasih kepada setiap pemain Indonesia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Doha.
Bagaimanapun, Tae-yong tidak mahu kekalahan ini memadam hasrat barisan Indonesia untuk layak ke Sukan Olimpik Paris kerana mereka masih berpeluang untuk melakukannya ketika menentang Iraq dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
“Saya percaya pada diri dan pemain saya. Kami yakin yang kami mampu layak ke Olimpik dan pemain juga sudah bersedia dengan cabaran ini. Kami mempunyai satu lagi satu perlawanan penting pada Khamis dan akan mula fokus kepada perlawanan itu,” jelasnya.
Pemenang perlawanan itu akan layak secara automatik ke Olimpik manakala pasukan yang tewas masih berpeluang layak ke Paris menerusi perlawanan playoff menentang Guinea pada 9 Mei 2024 di Paris.