MENJADI pasukan bukan pilihan di Kejohanan Piala Asia Bawah 23 tidak boleh dijadikan alasan buat Malaysia untuk tidak memberikan cabaran buat lawan apabila bertemu Uzbekistan dalam perlawanan pertama Kumpulan D pada Rabu.

Pengendali kebangsaan, Juan Torres Garrido menganggap status itu bukanlah satu masalah buat skuad negara, malah ia seharusnya menjadi motivasi terbaik dalam memberikan cabaran kepada pencabar lain dalam kejohanan ini.

“Kita harus menerima realiti sebagai pasukan bukan pilihan terutama selepas melihat cara kita layak untuk bersaing di sini tetapi pemain perlu menunjukkan bahawa kami juga layak untuk beraksi di pentas tertinggi ini.

Pengendali skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres Garrido

“Kami gembira untuk beraksi di Piala Asia B-23 dan kami memandang ke depan dengan bercita-cita untuk memperbaiki keputusan pada edisi lalu dan semua pemain begitu teruja untuk menantikan perlawanan pertama,” katanya ketika sidang media pra kejohanan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha.

Garrido juga mahu anak-anak buahnya berada pada tahap yang terbaik untuk memberi cabaran yang sengit kepada pasukan lawan kerana sedar skuad lawan dibarisi pemain-pemain yang bagus.

“Kita akan menentang Uzbekistan yang menjadi salah satu pasukan pilihan dan mereka memiliki ramai pemain bagus walaupun tidak semua pemain dari skuad edisi lalu menyertai skuad kali ini.

Uzbekistan dilabel sebagai salah satu pasukan pilihan kejohanan

“Jadi mereka ada banyak alternatif dan untuk itu, kita harus berada pada tahap yang terbaik untuk menjadi kompetitif. Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini,” jelasnya.

Sementara itu, pengendali Uzbekistan B-23 Timur Kapadze mahu para pemainnya memberikan aksi terbaik dan menjaga maruah pasukan dalam misi menjulang kejuaraan buat kali kedua selepas 2018.

“Kita menghormati semua pasukan tetapi kita ada sasaran yang konkrit bagi edisi kali ini. Semua pasukan ada peluang untuk menjuarainya dan kami sedar bahawa kami antara pasukan pilihan.

Ketua jurulatih Uzbekistan, Timur Kapadze (kanan) mahu para pemain menjaga maruah negara ketika beraksi

“Pemain sudah bersedia sepenuhnya dan kami mahu memenangi kejuaraan di sini oleh itu sangat penting untuk membuka kempen dengan langkah positif kerana kami memiliki banyak pengalaman dan tidak ada pemain yang cedera dengan mereka mahu berikan yang terbaik di atas padang,” jelasnya dalam sidang media yang sama.

Selain Uzbekistan. Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Vietnam dan Kuwait dengan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi taruhan tiga pasukan terbaik dari jumlah keseluruhan 16 pasukan bertanding.