KETUA jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney berharap anak buahnya tidak gentar menjelang pertembungan menentang juara bertahan, Korea Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan pada Khamis.
Mengakui Korea Selatan hadir reputasi pasukan pilihan dan miliki pemain berkualiti, Maloney melihat ia satu cabaran besar yang sempurna buat para pemain negara.
“Pemain usah risau dengan lawan, kita perlukan keberanian semasa berdepan atas padang. Malahan, tahap kondisi pemain selepas perjalanan yang jauh juga baik. Tiada sebarang kecederaan buat masa ini.
“Kami akan sajikan permainan terbaik dan faham Korea adalah lawan liat untuk kejohanan kali ini,” katanya yang turun menjalani latihan pertama bersama pemain di Padang Latihan Qibray di Uzbekistan.
Selepas bertemu Korea Selatan, skuad Harimau dijadual menentang Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun) di Stadium Lokomotiv dan Stadium Bunyodkor di Tashkent. Dua pasukan teratas kumpulan layak ke suku akhir.
Malaysia sudah berhadapan Vietnam dan Thailand di Sukan SEA lepas, namun kedua-dua pasukan itu kali ini hadir ke Tashkent dengan pakej dibawah kendalian jurulatih baru.
“Sudah tentu cabaran berbeza. Sukan SEA adalah persediaan yang bagus dapat lawan Thailand dan Vietnam. Di sini, kami kena fokus dan kawal permainan,” ujarnya lagi.