PEMAIN tengah skuad Harimau Malaya B-23, Mukhairi Ajmal sedar berlaku sedikit kebimbangan terhadap taktikal yang bakal digunakan oleh pasukan Vietnam selepas lawan dalam Kumpulan D itu menukar jurulatih menjadikan aksi Kejohanan Piala Asia AFC B-23 yang bermula pada 15 April di Doha, Qatar.
Bagaimanapun, kapten pasukan itu yakin dengan kemampuan dia serta rakan-rakan sepasukan dengan meletakkan layak ke peringkat suku akhir sebagai sasaran peribadi berdasarkan persiapan yang sudah dilakukan.
Malaysia dijadualkan bertemu Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan D pada 20 April dengan Mukhairi menganggap barisan kejurulatihan sudah mempunyai taktikal tersendiri untuk menhadapi jiran Asia Tenggara itu.
“Kami dikhabarkan oleh barisan kejurulatihan yang Vietnam ada melakukan pertukaran jurulatih sekaligus menjadikan mereka pasukan yang misteri dan kami perlu berhati-hati dengan apa yang bakal ditonjolkan oleh mereka.
“Semua pemain sudah bersedia sebagai satu pasukan dan secara peribadi, saya mensasarkan layak ke suku akhir dan anggap satu bonus jika berjaya layak ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Doha.
Pemain Selangor FC itu juga gembira dengan persaingan sihat yang dicetuskan dalam pasukan dengan kesemua pemain menunjukkan sikap profesional dan ini sangat membantu dalam persiapan pasukan terutama buat pemain baharu.
“Syukur semua pemain sudah bersedia dan saya boleh nampak mereka berikan yang terbaik ketika latihan sekaligus mewujudkan persaingan sihat dalam skuad untuk merebut kesebelasan utama kerana masing-masing sedar ianya bukan perkara yang mudah,” jelasnya.
Sebelum bertemu Vietnam, Malaysia akan membuka tirai saingan bertemu Uzbekistan terlebih dahulu sebelum melengkapkan aksi kumpulan bertemu Kuwait dalam Kumpulan D dengan dua pasukan teratas akan layak ke peringkat suku akhir.
Tiga pasukan akan layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan Malaysia cuba mengintai peluang layak ke temasya sukan pelbagai acara terbesar dunia itu namun perlu berdepan cabaran di peringkat kumpulan terlebih dahulu.